kasih sayang

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih
muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan
sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis
ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil
kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi
dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa
di tangan ayah. "Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah
bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam
mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk
memandang lantai."Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah
rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk
melepaskan pukulan sulungnya ke belakang
aku.Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan
kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang
ambil!"
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan
kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti
menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk
bersuara. Walau perit menahan sakit,
setitis pun airmata adik tak tumpah.
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah
merungut:"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah
sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan
memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu,emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik.
Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba
kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air
matanya tidak mengiringi kesakitan yang
mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal
dengan sikap aku yang takut berkata benar.
Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah
tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya
dah berlalu!" Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak
mampu membela adik.
Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana
mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik
mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh
dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke
peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk dibawah cahaya lampu minyak tanah
bersama ibu diruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,
"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran.
Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu
teresak-esak.
"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?" Ketika
itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri
di depan ayah dan ibu. "Ayah,saya tak mahu ke sekolah
lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain
pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik
dalam-dalam.
Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik.
Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup
muka dan menangis. "Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah
terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan
lakukan!"
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan
dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,"
aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya
yang bengkak.
"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti."
Tiada siapa yang menyangka,dinihari itu adik tiada
dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju
lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia
lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang
tercatat....."Kak...untuk dapat peluang ke universiti
bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang
buat akak."
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah
termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak
yang menggunakan air matanya memujuk ayah. Suatu
petang ketika berehat di asrama, teman sebilik
menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" Tergesa-gesa aku
keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan
pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.
"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang
datang!" Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah
pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata
kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku terasa
berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup
tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi.
Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada
pakaian adik.
Dalam suara antara dengar & tidak, aku bersuara,"Akak
tak peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya,
adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia
mengenakan pada rambutku sambil
berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit
macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul
adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat
ditahan-tahan. Tamat semester, aku pulang ke kampung
sementara menunggu konvokesyen.
Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak
seperti selalu. "Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk
bersihkan rumah sambut saya balik." "Adik kamu yang
bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya
luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami
berdakapan. "Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa
luka pada tangannya. "Tak....Kak tahu, semasa bekerja
sebagai buruh kontrak, kerikil dan
serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya
sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat
menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi...aku menangis seperti selalu. Aku berkahwin
pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan
menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?"
kata adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja
dengan kelulusan yang adik ada." "Adik tak ke sekolah
pun kerana akak." kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba
menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di
kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada.
Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis
sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang
yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak
saya...."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang
langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami
berjalan kaki kesekolah.Suatu hari tapak kasut saya
tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah,
kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya.
Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah
saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan
calar-balar." "Sejak itulah saya berjanji pada diri
sendiri. Saya
akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu.
Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin,
mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan
diserang histeria.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...