Tanda Orang yang Bersyukur

Sabda Rasullullah yang bermaksud :
"Apabila seseorang darimu memandang orang yang lebih darinya dari segi harta kekayaan dan rupa paras, maka hendaklah ia melihat pula kepada orang-orang yang lebih bawah darinya"

HURAIAN HADIS

Menurut ahli jiwa, disana ada dua sikap atau dua reaksi yang mungkin diambil seseorang apabila ia melihat orang-orang lain mempunyai kelebihan-kelebihan yang mengatasinya terutama dari segi kelebihan kekayaan dan kecantikan rupa.
Pertama: Ia melihat dengan perasaan hampa dan kecewa, ia melihat dengan perasaan dengki dan cemburu, ia melihat dengan hati yang diburu perasaan rendah diri, perasaan hina dan tidak puas terhadap diri sendiri, ia melihat dengan sikap meragui dan mempertikaikan keadilan Allah.
Kedua: Ia melihat dengan dada yang lapang dan dengan pengertian yang sihat bahawa ni'mat Allah kepada manusia itu adalah nisbi belaka.  Kebahagiaan dan nilai seseoarang bukan semestinya dicapai dengan kekayaan dan rupa yang cantik sahaja.  Betapa ramai orang kaya tetapi hidupnya celaka dan mempunyai nilai diri yang kosong, betapa ramai rupawan dan si tampan, tetapi hidupnya jauh dari bahagia dan nilai dirinya bergelimang dengan dosa dan noda.  Dan betapa ramai orang yang tidak punya kekayaan tetapi hidupnya bahagia, puas dan penuh erti, dan betapa ramai si buruk dan si hodoh yang mendapat tempat dalam hati khalayak ramai dan hidupnya bahagia dan gembira
Hadis ini menyarankan satu kaedah hidup yang bijaksana, jika kita memandang ada orang yang lebih kaya, lebih cantik, lebih pandai dan lebih bernasib baik dari kita, maka cepat-cepat kita menoleh ke bawah melihat betapa ramai manusia yang lebih kecil harta kekayaan dan lebih buruk parasnya dari kita, dari sini akan tercetuslah dalam hati kita rasa kesyukuran dan kepuasan yang mendalam.

Hati orang mu'min sentiasa dilimpahi kesedaran bahawa nilai hidup seseorang manusia disisi Allah bukan terletak pada kekayaan, pangkat kebesaran dan kecantikan rupa paras malah terletak pada pada darjat takwa dan ubudiahnya kepada Allah.  Inilah nilai hidup ubudiah yang tidak akan terjejas dengan perubahan-perubahan alam sekitar dan keadaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...