Menyedarkan Ibu Bapa Dalam Mendidik


“Kamu memang seorang yang berbakat, boleh menyanyi dan menari, kalau kamu belajar lagi, saya yakin adik boleh pergi jauh.” 


Seorang pengkritik mengeluarkan pandangan dalam sebuah rancangan realiti hiburan kanak-kanak.
Kanak-kanak diajar menari, menyanyi, bermain-main dan banyak lagi rancangan realiti kanak-kanak hari ini, yang membawa kepada konsep pendidikan hiburan dengan menyemai penghayatan dunia hiburan semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  
Lambakan rancangan seperti ini mendapat sambutan yang begitu menakjubkan, terutamanya daripada golongan kanak-kanak dan juga ibu bapa, sama ada melalui rancangan televisyen atau pun dalam institusi pendidikan itu sendiri.
Kanak-kanak sifatnya memang suka bermain, dan hari ini manusia telah mencipta sebuah sistem pendidikan yang bersifat mendidik kanak-kanak dengan bermain sambil belajar. Perkara ini tidak salah dan menyimpang, namun apabila bersifat melampau dengan menanam asas-asas perkara yang boleh menyimpang pemikiran kanak-kanak sejak daripada kecil lagi, adalah tidak mustahil akan lahir sebuah generasi yang bersikap degil, tidak menghormati orang tua, keluar malam kerana mahukan hiburan, lari daripada rumah, tidak menutup aurat dan sebagainya, ibarat menjadi satu kebiasaan pada hari ini.
Satu perkara yang perlu disedari oleh ibu bapa, bahawa peranan dan tanggungjawab yang dituntut daripada mereka ialah menanam asas iman semenjak daripada kecil seterusnya membimbing anak mengenal dan menjadi hamba Allah yang sejati. Satu pesanan penting daripada Rasullah khususnya kepada golongan ibu bapa, 

“Setiap anak yang dilahirkan membawa fitrah beragama (Percaya kepada Allah). Maka kedua-dua orang tuanyalah yang sebaliknya menjadikannya beragama Yahudi, Nasrani atau majusi sebagaimana binatang yang melahirkan anaknya dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kecacatan. Adakah kamu mendapati binatang dilahirkan dalam keadaan sama ada hidung, telinga atau mana-mana anggota terpotong?” (Hadis riwayat muslim)
 

Pendidikan kanak-kanak oleh ibubapa boleh berlaku dalam bentuk formal atau informal. Sama ada mengajar mereka menulis, membaca, secara langsung, atau pun melalui pengaruh daripada sikap dan perbuatan ibu bapa dan persekitaran. Adalah amat malang sekali sekiranya ibu bapa tidak serius dalam perkembangan kanak-kanak, dengan mengikut keinginannya sendiri untuk berhibur dan bersuka-suka semata-mata dalam mendidik anak-anak.
Satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Gelnn Doman  seorang pakar yang telah membuat kajian mengenaii kecerdasan otak kanak-kanak termasuklah kanak-kanak ang terencat akal telah membuat rumusan seperti berikut:
  1. Tiada ahli sains yang dapat mengalahkan kanak-kanak, dari segi semangat belajar mengkaji,mencuba dan menyelidik. Kanak-kanak akan lebih gembira jika lebih banyak dan lebih cepat menerima pelajaran. Potensi kanak-kanak membaca sama sahaja dengan potensi bercakap.
  2. Kanak-kanak boleh bercakap dahulu kerana kanak-kanak lebh banyak menerima ransangan pendengaran percakapan.
  3. Sekiranya ransangan mata dan telinga sama banyak diterima, pasti kanak-kanak akan dapat membaca dan bercakap pada waktu yang sama. Walau bagaimana pun ia bergantung kepada kaedah dan suasana pembelajaran.
  4. IQ akan meningkat dengan pesat bila diransangkan dalam peringkat ini dan berkurangan pada peringkat seterusnya.
  5. Apa yang tidak diperolehinya semasa kecil, sangat sukar diperolehi apabila ia besar kelak.
  6. Pembelajaran pada masa akan datang juga terletak di atas apa yang didapatinya semasa kecil.
  7. Kajian mennjukkan bahawa kanak-kanak yang cacat otak (seperti akibat demam panas) masih boleh dirawat jika sel otaknya diransangkan sebeleum umur persekolahan.
Oleh yang demikian, proses pendedahan awal ibu bapa terhadap anak-anak kepada asas kehidupan dalam dunia ini merupada satu perkara yang sangat penting, terdapat tiga golongan ibu bapa yang dapat dilihat denan ketara pada hari ini, iaitu,
  1. ibu bapa yang menamam asas kesesatan dan kejahilan anak-anak daripada kecil sehinggalah dewasa.
  2. Ibu bapa yang menanam asas iman, taqwa, al quran, akhlak dan adab kepada anak-anak mereka.
  3. Ibu bapa yang mencampurkan kedua-dua elemen di atas.
     Akhir kata daripada penulis, pendidikan agama merupakan satu tanda kasih sayang yang paling bermakna buat seorang anak daripada orang tuanya, alangkah indahnya ibu bapa yang memimpin anaknya berjalan menuju ke syurga Allah. Beringatlah, agar tidak menjadi ibu bapa yang mementingkan diri sendiri sehingga anak kecil yang tidak tahu apa-apa dipimpin untuk memuaskan kehendak peribadi semata-mata dengan membelakangi Pencipta. Ketenangan dan kebahagian rumah tangga hadir apabila sebuah rumah menjadi  ibarat sebuah madrasah yang subur dengan tarbiah. Semoga berbahagia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...